25 June 2008

???

Bismillaah Alhamdulillaah..

Entah sudah beberapa kali pernah aku ungkapkan tentang keinginanku untuk mengundurkan diri dari bidang seni persembahan dan bimbingan vokal ini. Setiap kali aku lari, ia datang mengejar, mengundang dan menghidang pelbagai wadah-wadah untuk disajikan. Aku redha. Seperti pernah aku memberi jawapan kepada sebuah soalan dari seorang teman, "Lama kita tak jumpa. How's life?". Aku jawab, "Alhamdulillaah, segala-galanya telah ditentukan dan aku wajib terima apa-apa pun yang dihidangkan di sekelilingku biarpun pahit untuk aku menelannya." Temanku sekadar meng-iakan jawabanku itu. Mungkin beliau masih memikirkan apa yang ingin aku sampaikan. Aku harap beliau mengerti dari isi kata-kata itu.

Beberapa waktu ini, renunganku membuat aku semakin hampir untuk pulang. Bukan aku takut mati atau sekadar ingin mengisi sisa-sisa hidupku mengumpul pahala buat ku 'tapau ke sana' tetapi aku hanya mengikut gerakan hatiku yang semakin hari semakin sayu, entah apa aku tak tahu. Keluarga, teman dan apa-apa saja di sekelilingku adalah wadah tempat aku meninggalkan kesan. Mungkin di situ ada jawapannya. Renungan lampau telah aku jadikan pedoman buat mengisi sisa-sisa hidup sebelum pemergian. Mungkin aku tidak lagi bersenda atau mengucapkan kata-kata gila di dalam kelas atau bengkel-bengkel vokal yang aku pernah dibawa ke sana. Aku masih keliru. Apakah perhentian seterusnya adalah persemadianku? Entah. Atau mungkin ia satu permulaan lagi untuk aku meneruskan peranan yang diberikan. Bukankah dunia ini pentas sandiwara? Kepada teman dan penuntut yang aku cintai, anggaplah ini sebagai satu dari perjalanan hidup. Kepada yang mencari ketenangan di dalam seni ini, carilah ia di dalam ketenangan. Kepada yang mengharap untuk mendapatkan perhatian, hentikan itu. Setiap yang dikejar; lari. Aku harap kamu semua dapat lari dari mengharapkan perhatian itu. Tinggalkan populariti, nescaya ia akan mengejarmu. Jadikan ini satu pedoman. Rendahkan diri-diri kamu dan jangan sekali-kali berasa senang atau angkuh dengan puji-pujian yang dilontarkan pada suara-suara mu. Ingat ! Suara siapa tu?

Sesekali aku akan ke sini lagi untuk mencoret apa-apa yang pernah aku sampaikan pada sesi-sesi vokal kita. Insya'Allaah, itupun jika aku diingatkan lagi......

:Miskin